Yesterday is a history, Tomorrow is a mystery, and Today is a gift. That’s way people call it present.
Kegagalan dalam bersikap adil terhadap masa lalu adalah suatu kerugian. Adil dalam menilai masa lalu adalah entiti penting dalam membentuk masa depan. Tidak perlu untuk dibahaskan dengan panjang lebar tentang perkara ini kerana paparan realiti lebih fasih membicarakannya.
Lihatlah kehidupan kita sendiri sebelum melontar pandangan ke segenap alam maya. Siapa kita 5 tahun yang lampau? Di mana kita waktu itu? Apa pencapaian kita saat itu?
Korelasi masa adalah suatu “HAQ” yang tidak dapat dinafikan sepertimana diutarakan oleh surah Al-ASR. Masa mengikat segalanya. Berbalik kepada persoalan-persoalan di atas, sudah semestinya kita memiliki jawapan yang berbeda namun identik dari segi kesan masa lampau ke atas masa hadapan.
Namun kesan ini bukanlah suatu yang semborono mahupun enteng. Bukan pula suatu yang tetap dalam ertikata tidak dapat dikesankan melalui pilihan dan penilaian kita terhadapnya. Kesan ini mudahnya adalah impak perspektif kita terhadap masa lampau.
Kejayaan, kegagalan, kegembiraan, kesedihan, kebahagiaan, kesengsaraan dan segala macam peristiwa semalam haruslah dinilai seadilnya. Jangan kerana sedikit kejayaan lalu melupakan kita akan kapasiti sebenar diri. Jangan kerana sedikit kegagalan memadamkan semua potensi peribadi. Jangan! Jangan pernah biarkannya terjadi.
Andai tersalah langkah pada saat lepas, terimalah seadanya. Jadikan masa kini saksi perubahan positif tersebut.
Andai kegemilangan masa lalu membangkitkan kecemburuan tak terelakkan, salurkanlah ke arah pembangunan masa depan. Bukan dengan berbangga akan zaman silam. Bukan dengan menghina masa kini kerana tidak segemilang masa silam. Bukan dengan keputusasaan. Bukan dengan angan-angan kosong ke depan mahupun imaginasi dangkal andai masa terhenti, tetapi dengan azzam yang menghidupi setiap urat sendi dan cita-cita yang tinggi melangit.
Maka, Adillah dalam menilai masa lalu!

